Photobucket

Tuesday 26 March 2013

TERENGGANU TERUS PERHEBAT PROGRAM eBOOK


KUALA TERENGGANU 25 Mac - Kerajaan negeri akan terus memperhebatkan keupayaan program e-Book dalam usaha meningkatkan lagi tahap pembelajaran dan kecemerlangan akademik pelajar di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pada masa ini syarikat milik penuh kerajaan negeri, Top IT Industries Sdn. Bhd. yang mengeluarkan peralatan itu sedang mengadakan perbincangan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyediakan program tersebut.
"Pendekatan baru yang akan dimasukkan dalam program e-Book itu membabitkan pembelajaran sains dalam bentuk animasi bagi memudahkan murid lebih memahami.

"Ini kerana, program animasi lebih mudah untuk difahami dan jika semuanya berjalan lancar, program animasi itu akan diprogram dalam e-Book pada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan e-Book tahun empat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk 2013 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Razali Ismail di sini semalam.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Datuk Che Mat Jusoh.
Difahamkan, pada masa ini e-Book dilengkapi perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa dan amalan solat yang lengkap dengan perisian khusus untuk mereka.
Pada majlis itu, seramai 741 murid tahun empat dari enam buah sekolah rendah dalam DUN Batu Buruk termasuk Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuala Terengganu melibatkan seramai 81 murid menerima e-Book daripada Menteri Besar.

Sementara itu, bagi ibu-bapa, mereka berterima kasih kepada kerajaan yang menyumbangkan e-Book kepada murid dan menyifatkannya sangat wajar, selaras dengan perkembangan teknologi maklumat ketika ini.
Azizah Harun, 38, dari Kuala Ibai, berasa bertuah kerana anaknya Noor Fara Liyana merupakan antara para penerima e-Book daripada kerajaan negeri.

"Sebagai ibu, saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian tersebut," katanya ketika menemani anaknya yang cacat pendengaran di SK Pendidikan Khas Kuala Terengganu.
Begitu juga dengan Norihan Mohd. Zain, 44, yang turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas pemberian e-Book dalam usaha meningkatkan penguasaan teknologi maklumat di kalangan murid di Terengganu.

Dia yang menemani anaknya, Noor Liyana Zakaria yang bersekolah di SK Pendidikan Khas Kuala Terengganu itu turut berbangga kerana anaknya juga layak menerima bantuan kerajaan negeri itu.
"Untuk kita beli sendiri, tentulah agak sukar kerana kosnya (e-Book) yang tinggi, kami bersyukur dengan pemberian e-Book secara percuma ini," tambahnya.

Sementara itu, bagi pasangan adik-beradik, Zurain Qistina Zakaria dan Nurin Idina dari SK Gong Tok Nasek, mereka juga gembira dan berbangga kerana dapat memiliki e-Book sendiri.
"Kami akan gunakan pemberian kerajaan ini dengan sebaik-baiknya dan saya mahu belajar serta gunakan e-Book dengan sebaiknya supaya dapat keputusan cemerlang," ujar mereka.

Bagi bapa kepada dua beradik itu, Mohd. Zulkifli Embong, 45, dia juga merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian e-Book kepada murid tahun empat yang diyakini dapat membantu meningkatkan pencapaian murid dalam setiap subjek  - Utusan Malaysia



No comments:

Post a Comment